Apabila Kelewatan Intervensi Membawa Maut: Analisis Kes Kecuaian Perubatan dalam Pengurusan Proses Kelahiran

Pengenalan

Encik Azzan bertindak selaku kaunsel mewakili Plaintif dalam kes ini yang melibatkan suatu tuntutan kecuaian perubatan yang timbul daripada pengurusan proses kelahiran seorang pesakit yang mempunyai sejarah kelahiran berisiko tinggi.

Plaintif telah memfailkan tindakan terhadap Hospital Teluk Intan, Kerajaan Malaysia serta beberapa pegawai perubatan yang terlibat dalam pengurusan kelahiran tersebut. Plaintif mendakwa bahawa kegagalan pihak hospital untuk mengenalpasti tanda-tanda komplikasi serta kegagalan mengambil tindakan yang sewajarnya telah mengakibatkan kecederaan serius kepada ibu serta kematian bayi yang dilahirkan. 

Selepas tindakan dimulakan dan kes telah pun dipanggil untuk perbicaraan, pihak Defendan akhirnya mengakui liabiliti dan kuantum gantirugi, dan kes ini telah diselesaikan melalui penyelesaian secara Penghakiman Persetujuan.

Latar Belakang Kes

Plaintif Pertama telah hadir ke hospital ketika kandungannya berada pada 38 minggu dan 5 hari selepas mengalami kesakitan kontraksi.

Rekod perubatan menunjukkan bahawa beliau sebelum ini pernah melahirkan anak melalui Emergency Caesarean Section akibat kegagalan proses kelahiran untuk berkembang dengan normal. Keadaan ini menjadikan kandungan seterusnya sebagai kehamilan berisiko tinggi.

Walau bagaimanapun, Plaintif Pertama telah dibenarkan untuk menjalani Trial of Labour (VBAC) tanpa penjelasan yang mencukupi mengenai risiko yang berkaitan dengan kaedah kelahiran tersebut.

Sepanjang proses kelahiran, beberapa tanda klinikal yang membimbangkan telah direkodkan, termasuk:

  • Kedudukan kepala janin yang masih tidak masuk ke pelvis
  • Kemajuan proses kelahiran yang perlahan
  • Aduan kesakitan pada parut pembedahan Caesarean lama
  • Bacaan CTG yang menunjukkan corak tidak normal

Tanda-tanda ini lazimnya menunjukkan kemungkinan komplikasi yang memerlukan pemantauan rapi serta tindakan segera.

Kecuaian dalam Pengurusan Rawatan

Berdasarkan Laporan Pakar yang disediakan oleh Pakar O&G di pihak Plaintif, Plaintif telah menyatakan bahawa dalam kes ini terdapat beberapa kegagalan penting dalam pengurusan klinikal pesakit.

1. Kegagalan Memberi Nasihat yang Sewajarnya

Memandangkan sejarah kelahiran terdahulu melibatkan komplikasi serius, pihak hospital sepatutnya memberikan penjelasan yang mencukupi mengenai risiko untuk bersalin secara normal.

Plaintif tidak diberikan maklumat yang mencukupi mengenai risiko seperti:

  • Obstructed labour
  • Cephalopelvic disproportion
  • Uterine rupture (Koyakan Rahim)

Akibatnya, Plaintif tidak dapat membuat keputusan yang benar-benar termaklum mengenai kaedah kelahiran yang sesuai.

2. Kegagalan Mengenalpasti Tanda-tanda Bahaya

Sepanjang proses kelahiran, terdapat beberapa tanda klinikal yang menunjukkan kemungkinan berlakunya komplikasi serius, termasuk:

  • Bayi lemas
  • Kemajuan kelahiran yang tidak mencukupi
  • Aduan kesakitan pada parut Caesarean lama

Keadaan ini sepatutnya memberi amaran awal mengenai kemungkinan obstructed labour atau uterine rupture.

Namun, tiada tindakan segera diambil pada peringkat tersebut.

3. Kelewatan Melakukan Caesarean Kecemasan

Akhirnya, keputusan dibuat untuk melakukan Emergency Caesarean Section.

Namun, ketika pembedahan dilakukan, didapati bahawa rahim Plaintif telah koyak (uterine rupture) dan bayi telah mengalami kekurangan oksigen yang teruk.

Bayi tersebut didiagnos dengan Hypoxic Ischemic Encephalopathy (HIE) dan mengalami kegagalan pelbagai organ sebelum meninggal dunia walaupun telah diberikan rawatan rapi di NICU. 

Kesan terhadap Plaintif

Akibat kejadian ini, Plaintif Pertama mengalami:

  • Kecederaan serius akibat koyakan rahim
  • Kesakitan fizikal dan komplikasi selepas kelahiran
  • Trauma psikologi yang berpanjangan

Plaintif juga mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan, kegelisahan serta Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD).

Di samping itu, Plaintif-Plaintif turut mengalami penderitaan emosi yang mendalam akibat kehilangan bayi yang tercinta.

Penyelesaian Kes

Selepas tindakan undang-undang dimulakan, pihak Defendan akhirnya mengakui liabiliti serta kuantum gantirugi.

Kes ini kemudiannya diselesaikan melalui penyelesaian secara Penghakiman persetujuan antara pihak-pihak.

Key Takeaways

Kes ini menekankan beberapa prinsip penting dalam pengurusan kes obstetrik berisiko tinggi:

1. Pesakit berisiko tinggi memerlukan pemantauan yang lebih rapi.
Sejarah kelahiran terdahulu boleh menjadi indikator penting kepada komplikasi dalam kehamilan seterusnya.

2. Pesakit berhak menerima maklumat yang mencukupi sebelum membuat keputusan rawatan.
Doktor mempunyai tanggungjawab untuk menerangkan risiko serta pilihan rawatan yang tersedia.

3. Tanda-tanda klinikal awal tidak boleh dipandang ringan.
Kelewatan dalam mengenalpasti komplikasi boleh membawa kepada akibat yang serius.

4. Intervensi perubatan yang tepat pada masanya boleh menyelamatkan nyawa.

Kes ini menunjukkan bagaimana kegagalan dalam pengurusan klinikal serta kelewatan dalam mengambil tindakan boleh membawa kepada akibat yang tragik dan dalam keadaan tertentu, kematian yang sebenarnya boleh dielakkan.

Jika anda atau ahli keluarga anda percaya bahawa anda mungkin menjadi mangsa kecuaian perubatan, adalah penting untuk mendapatkan nasihat undang-undang seawal mungkin.

Kes kecuaian perubatan selalunya melibatkan isu perubatan yang kompleks serta memerlukan penelitian terhadap rekod perubatan dan pendapat pakar.

Firma kami mempunyai pengalaman dalam mengendalikan pertikaian sivil termasuk tuntutan kecuaian perubatan.

Sekiranya anda ingin mendapatkan nasihat lanjut berkenaan hak anda, sila hubungi kami untuk perbincangan lanjut. Hubungi kami melalui emel azzanchamber@gmail.com.

*Rujukan kes Halif Aniqamal vs Kerajaan Malaysia (Guaman No.: AA-21NCvC-11-11/2022)

Bermanfaat? Kongsikan:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top