Dalam kes ini, seorang bapa menuntut pampasan bagi pihak anaknya — seorang pesakit cerebral palsy — akibat kecuaian dalam rawatan obstetrik di sebuah hospital swasta di Bangi.
Pada 24 Februari 2003, ibu kepada anak ini hadir ke hospital untuk pemeriksaan antenatal 6 bulan. Beliau mengadu:
- sakit perut sangat.
- sukar berjalan dan membuang air kecil, serta
- pergerakan bayi berkurangan.
Namun, doktor yang bertugas gagal mengenalpasti tanda-tanda awal premature labour. Beliau hanya melakukan imbasan ringkas, memberi jaminan semuanya “normal”, dan meminta pesakit pulang tanpa rujukan pakar, pemantauan CTG atau rawatan tokolitik/steroid.
Dua hari kemudian, pesakit kembali sebagai kes kecemasan — ketika itu sudah hampir bersalin. Bayi dilahirkan secara pramatang pada 26 minggu kandungan dan seterusnya didiagnos mengalami spastic quadriplegic cerebral palsy, dengan kebergantungan sepanjang hayat.
Mahkamah memutuskan bahawa tarikh 24 Februari itu sebagai “missed opportunity” — peluang penting untuk menyelamatkan fungsi paru-paru bayi serta mengurangkan risiko kecacatan otak, sekiranya rawatan sewajarnya diberikan.
Mahkamah Rayuan memutuskan hospital bertanggungjawab atas kecuaian sistemik, kerana kegagalan diagnosis awal dan kegagalan memastikan rekod pesakit diurus dengan baik.
Kes ini membuka mata bahawa setiap ibu hamil berhak kepada pemantauan risiko secara profesional, dan isu-isu kecil yang diabaikan boleh mengubah perjalanan hidup satu keluarga buat selamanya.
Rujukan kes: Medi-Circle Sdn Bhd & Ors v Nur Zulaikha Dzulzaili [2022] 1 LNS 1546
