Kami mewakili Plaintif dan waris dalam satu melibatkan tuntutan perobohan rumah warisan oleh pegawai Kerajaan. Plaintif telah lama menduduki tanah tersebut sejak 70 tahun dulu. Plaintif dan keluarga bukan sahaja menerima kemudahan asas seperti air dan elektrik, malahan turut membayar cukai pintu sebagai bukti penggunaan tanah tersebut.
Walaupun Plaintif telah membuat beberapa permohonan untuk mendapatkan hakmilik tanah yang diwarisi, permohonan mereka ditolak oleh pihak berkuasa negeri. Selaras Pembangunan bagi projek “Draw Bridge Kuala Terengganu” beberapa tahun kemudian, pihak Kerajaan Negeri telah menghantar Notis Pengosongan Tanah untuk menghalau Plaintif dan keluarga.
Walaupun Plaintif enggan meninggalkan tanah tersebut, rumah warisan telah diruntuhkan oleh pihak berkuasa. Luluh hati dan air mata Plaintif dan keluarga saat melihat rumah dirobohkan setiap satu batang kayu. Plaintif kemudian melantik kami untuk memfailkan saman dan menuntut pampasan atas kerugian yang dialami.
Antara isu yang kami kemukakan untuk pertimbangan mahkamah ialah;
- jika Plaintif dikatakan telah menceroboh tanah yang didiami sekian lama itu, mengapa tiada pendakwaan terhadap Plaintif dibawah Seksyen 450 KTN ?
- jika Plaintif dikatakan sebagai setinggan (squatters), masakan pihak berautoriti memberikan bekalan dan kemudahan air, elektrik dan mengutip cukai pintu?
Dan persoalan penting yang kami tekankan, mengapa Plaintif tidak diberikan hak untuk didengar (right to be heard) sebelum tindakan perobohan dilakukan sedangkan hak Plaintif ke atas bangunan rumah diperbuat daripada kayu cengal tersebut dijamin oleh Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan?
Setelah mendengar keterangan saksi dari pihak Plaintif dan pihak Kerajaan Negeri,
Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu membenarkan tuntutan Plaintif atas alasan antara lain tindakan meroboh rumah tanpa prosedur yang betul dan pampasan yang sewajarnya adalah tidak adil.
Kes ini membuka mata tentang pentingnya hak waris dan perlunya pegawai kerajaan mengikuti peraturan serta memberi perlindungan undang-undang kepada penduduk apabila melaksanakan penguatkuasaan.
Rujukan kes: Wan Mohamad Anwar bin Wan Yusof (menuntut sebagai waris kepada Wan Yusof bin Abdul Kader, Simati) lwn Pentadbir Tanah Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Terengganu dan satu lagi [2020] MLJU 2677
